pEnGikOt

Thursday, September 29, 2011

-Masa Membawa Sejarah Pergi-


aku tengah kecewa. aku tengah sedih. hanya menunggu masa untuk pulih dan bangun.


Masa berlalu bagai bergerak pada satu garis yang lurus. Tidak pernah berhenti dan terus berlalu tanpa menghiraukan apa-apa hingga ke hujung waktu. Ketika waktu berlalu, kita sibuk mengisi masa kita dengan pelbagai aktiviti.
Di atas garis waktu itu, kita bermain dengan perasaan sendiri, adakalanya kita sangat gembira dan ada masanya kita bersedih. Semuanya berlaku dalam masa yang sentiasa berlalu. Seketika kita bergembira dan seketika kita berduka, waktu tidak pernah mengendahkannya.
Malah, kita sendiri yang perlu bijak mengisi setiap masa yang ada agar setiap tinggalan garis masa mencatatkan kebaikan dan bukanlah keburukan. Benarlah.
Di kala kita dilanda masalah dan dugaan, sering kita rasa menyesal dengan apa terjadi. Mungkin kita sedar akan kesilapan yang kita lakukan dan mungkin juga kita menunding jari mencari salah pada orang lain. Akhirnya, masa berlalu dan kita hanya perlukan masa untuk mengubati kekecewaan dan penyesalan.
Sering terjadi kita cuba menghilangkan titik hitam yang tercatat pada lebaran sejarah hidup kita. Hakikatnya, setiap yang berlaku tidak akan kita dapat mengubahnya kembali.Menghilangkan dan memadam sejarah adalah suatu yang mustahil. Namun , usaha untuk memadam sejarah adalah usaha yang sia-sia.
Sejarah sudah pasti berlaku dan tidak dapat dipadamkan. Seharusnya kita menerima hakikat ini dan mula berganjak ke hadapan. Tidak usah fikirkan cara untuk memadamkan dengan apa terjadi. Malah ingatan pada otak kita juga tidak akan berjaya kita padam semudah itu. Biarlah masa menguruskannya dan kita mengurus diri kita sendiri. Yakinlah, sejarah itu hanya akan kabur di makan waktu dan akan terus kabur apabila kejayaan dan kebahagiaan menggantikan dan memakan sisa sejarah lampau.
Mengapa perlu kita menjadikan sejarah sebagai halangan dan kekecewaan. Sudah tentu ia tidak dapat diubah. Kita yang hidup pada hari ini dan ketika ini adalah watak, pandangan, minda dan jasad yang masih boleh diubah. Berubahlah pada hari ini untuk mencipta hari-hari yang mendatang.
Jadikanlah sejarah sebagai satu cabaran. Titik hitam hanyalah secebis sejarah. Kita perlu ke hadapan. Cabarlah diri sendiri untuk menjadi seorang yang lebih baik, mengubah situasi menjadi lebih baik dan memperoleh keredhaan Allah. Tadahlah tangan memohon doa dan sujudlah pada Allah. Mohon bantuan dan petunjuk dari Allah SWT serta bertaubatlah dengan dosa yang lalu.
Kita tidak perlu hidup dengan ketakutan dan kekecewaan sejarah yang lalu. Ia tetap ada dan tetap pergi. Kita perlu hidup pada hari ini dengan keyakinan dan cita-cita pada hari ini.Kenapa perlu hidup dalam kekecewaan yang berpanjangan sedangkan kita impikan kesejahteraan dan kebahagiaan. Apakah ketika kita sedih dan kecewa, kita tidak punya kemampuan untuk mengecapi kesejahteraan dan kebahagiaan sedangkan masa telah membawa pergi segala yang telah terjadi.
Berbekalkan apa yang kita peroleh pada hari ini, maka bangunlah menghadapi cabaran hidup ini. Dugaan pasti datang dan sejarahlah yang memberi kita keyakinan. Sejarah memberi pengajaran bukannya halangan. Sejarah memberi kematangan bukannya kemunduran.
Katakanlah pada hari ini bahawa hidup aku lebih baik dari semalam kerana itu yang aku inginkan. Bermohonlah pada Allah yang menciptakan kehidupan ini dan yang Maha Mengetahui apa yang akan terjadi. Mohonlah perlindungan dariNya.
Masa depan belum menjanjikan apa-apa kerana masa depan belum tiba. Tetapi kita hidup pada hari ini mampu menjadikan ia lebih diyakini dengan membentuk siapa diri kita pada hari ini. Cermin diri pada hari ini agar kita berasa sedia menghadapi hari-hari esok.
Mulai dari detik ini, kita periksa setiap inci kehidupan kita. Buanglah keburukan dan wujudkan kebaikan. Sememangnya kita layak menjadi seorang yang baik dan hidup dalam keadaan yang lebih baik. Perbaikilah hubungan kita dengan diri kita sendiri. Perbaikilah hubungan kita dengan manusia dan perbaikilah hubungan kita dengan yang Maha Pencipta.
Apabila kita mengubah diri kita kepada kebaikan maka persekitaran juga akan menjadi lebih baik. Apabila persekitaran kita menjadi baik maka lingkungan hubungan kita juga akan turut menjadi baik.
Jadilah seorang yang baik, beramal soleh dan saling berpesan-pesan ke arah kebaikan. Manusia memang sering melakukan kesilapan, oleh kerana itu kita perlu saling menasihati dan memohon ampun atas kesilapan yang kita lakukan.
Kita hanyalah si kerdil yang dikuasai oleh hati yang jauh lebih kerdil dari jasad kita ini.
Jika hati ini sedih, takut, kecewa dan risau, sekujur tubuh ini tidak merasa yakin untuk melangkah mengejar kejayaan. Ini hanya mainan hati dan bisikan syaitan yang tidak jemu untuk menyesatkan kita.
Jika hati ini berani, gembira dan bahagia, maka keyakinan yang kita peroleh amat luar biasa. Maka janganlah biarkan hati kita diugut-ugut dengan sejarah, kerana masa telah membawa sejarah pergi.


Sumber: I Luv Islam

0 SAY WHAT??!!!!: